Saturday, April 30, 2016

JENIS-JENIS DAN CIRI-CIRI BILIK DARJAH

Bilik darjah merupakan tempat proses pengajaran dan pembelajaran berlaku yang melibatkan guru dan murid. Sejajar dengan perkembangan sistem pendidikan di Malaysia, terdapat beberapa jenis bilik darjah pada masa kini yang diklasifikasikan mengikut perbezaan ciri serta fungsinya. Antara jenis bilik darjah yang dikenal pasti ialah bilik darjah tradisi, bilik darjah KBSR dan KBSM dan bilik darjah terbuka.

Bilik Darjah Tradisi
Bilik darjah tradisi telah lama digunakan di negara kita untuk mendidik murid di bawah kurikulum lama iaitu di bawah program 'Kurikulum Lama Sekolah Rendah' dan 'Kurikulum Lama Sekolah Menengah' yang telah diperkenalkan sebelum KBSR dan KBSM. Kaedah ini merupakan satu tempat bagi sekumpulan murid untuk mengikuti pelajaran yang disampaikan oleh guru menggunakan kaedah keseluruhan kelas. Di dalam bilik darjah jenis ini pada kebiasaannya murid duduk mengikut susunan kerusi dan meja sebaris demi sebaris. Guru pula lazimnya berdiri di hadapan bilik darjah dan menyampaikan pengajaran menggunakan kaedah dan strategi tertentu. Terdapat juga kerusi dan meja serta papan hitam yang tergantung di hadapan kelas.

Ciri-ciri bilik darjah tradisi :
  • Kerusi dan meja disusun mengikut baris demi baris.
  • Murid yang rendah, bertubuh kecil dan kurang penglihatan serta pendengaran akan ditempatkan di hadapan.
  • Kerusi dan meja disusun sesuai dengan kaedah pengajaran yang lebih berpusat pada guru.
  • Cara pengajaran keseluruhan kelas merupakan kaedah mengajar utama di dalam bilik darjah.
  • Jarang mempraktikkan aktiviti kumpulan.
  • Murid berada dalam keadaan pasif dan menerima apa sahaja yang disampaikan oleh guru.


Bilik Darjah KBSR dan KBSM
Bilik darjah KBSR telah diperkenalkan di negara kita pada tahun 1982 di beberapa buah sekolah rendah sebagai percubaan manakala bilik darjah KBSM pula diperkenalkan apabila murid dari sekolah rendah tadi meneruskan pengajian ke sekolah menengah pada tahun 1988. Bilik darjah jenis ini mempunyai perbezaan yang begitu ketara jika dibandingkan dengan bilik darjah tradisi. Dari segi susunan fizikal, kerusi dan meja murid disusun mengikut kaedah kumpulan. Hal ini demikian kerana program KBSR menekankan aktiviti pembelajaran secara berkumpulan dan interaksi antara guru dengan murid serta murid dengan murid sangat ditekankan. Dari segi strategi pengajaran, pendekatan yang digunakan lebih bersifat berpusatkan murid dan penglibatan mereka secara aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran amat digalakkan. Dari segi bentuk dan kemudahan di dalam bilik darjah KBSR dan KBSM disediakan ruang pembelajaran untuk memudahkan murid menjalankan aktiviti pembelajaran. Selain itu, bahan pengajaran dan hasil pembelajaran juga diletakkan di ruang tersebut. Hal ini menimbulkan suasana bilik darjah menarik dan merangsang proses pengajaran dan pembelajaran.

Ciri-ciri bilik darjah KBSR dan KBSM
  • Kerusi dan meja murid disusun mengikut kumpulan.
  • Murid dapat dibahagikan mengikut kumpulan tertentu berdasarkan kebolehan tersendiri.
  • Menggalakkan penglibatan murid secara aktif.
  • Menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran berpusatkan murid.
  • Kerap melaksanakan interaksi antara guru dengan murid dan murid dengan murid.
  • Hasil kerja yang dipamerkan memperlihatkan suasana pembelajaran yang kondusif.
  • Murid sentiasa berada dalam keadaan aktif.


Bilik Darjah Terbuka
Bilik darjah terbuka wujud hasil daripada konsep pendidikan terbuka. R.S menyatakan bahawa konsep pendidikan terbuka sebagai suatu '[endekatan pengajaran dan pembelajaran, ruang-ruang pembelajaran bahan-bahan pelajaran serta penglibatan murid dalam membuat pemilihan daripada pendekatan dan strategi pembelajaran'. Sistem pendidikan terbuka dapat memberikan peluang kepada murid untuk merancang aktiviti pembelajaran sendiri dan pengajaran guru dikurangkan ke peringkat minimum. Guru hanya berperanan sebagai penasihat, pembimbing dan memilih bahan pengajaran dan aktiviti pengajaran sama ada secara berkumpulan atau individu. Pada kebiasaannya, pendekatan pengajaran secara berpasukan yang melibatkan beberapa orang guru terlatih dalam pelbagai bidang pengajaran digunakan untuk membimbing murid dalam bilik darjah terbuka. Situasi pengajaran di bilik darjah terbuka ini diubahsuai agar murid senang bergerak dari satu tempat ke satu tempat untuk memilih bahan pengajaran yang diminati dan menjalankan aktiviti pelajaran selepas berbincang dengan guru.

Ciri-ciri bilik darjah terbuka :
  • Pengajaran biasanya dijalankan dalam kumpulan kecil atau individu.
  • Pelbagai aktiviti dilaksanakan dan jadual mudah diubah.
  • Kaya dengan bahan dan peralatan mengajar.
  • Tiada kurikulum dihadkan. Pelbagai mata pelajaran diintgrasikan.
  • Murid bebas bergerak dan memilih bahan yang diminati.
  • Kumpulan murid dibentuk berdasarkan akademik dan minat.
  • Mempunyai suasana saling mempercayai dan menghormati perbezaan.
  • Ujian dan peperiksaan dikurangkan begitu juga dengan pembahagian gred.
  • Perhubungan antara guru dengan murid dan murid dengan murid secara terbuka dan jujur.

Dari segi ciri bilik darjah terbuka ini, kita dapati bahawa guru dalam bilik darjah hanya berperanan sebagai penbimbing, pengurus pembelajaran, kaunselor, pemudah cara atau fasilitator. Hal ini jelas berbeza dengan bilik darjah biasa yang menekankan aspek kawalan kelas. Implikasi daripada ini ialah pelajar diberi peluang untuk membentuk disiplinnya sendiri. Suasana berlumba-lumba untuk memperoleh markah tertinggi, ujian dan tekanan dari luar untuk menghabiskan sukatan pelajaran tidak berlaku. Sesetengah guru terutamanya yang tidak terlatih menganggap bahawa bilik darjah terbuka ini akan menimbulkan pelbagai masalah kepada guru. Antara masalah yang dijangka timbul seperti menyusun ruang dan mewujudkan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Penyediaan bahan juga akan menimbulkan masalah bagi guru yang tidak terlatih.






No comments:

Post a Comment