Saturday, April 30, 2016

JENIS-JENIS DAN CIRI-CIRI BILIK DARJAH

Bilik darjah merupakan tempat proses pengajaran dan pembelajaran berlaku yang melibatkan guru dan murid. Sejajar dengan perkembangan sistem pendidikan di Malaysia, terdapat beberapa jenis bilik darjah pada masa kini yang diklasifikasikan mengikut perbezaan ciri serta fungsinya. Antara jenis bilik darjah yang dikenal pasti ialah bilik darjah tradisi, bilik darjah KBSR dan KBSM dan bilik darjah terbuka.

Bilik Darjah Tradisi
Bilik darjah tradisi telah lama digunakan di negara kita untuk mendidik murid di bawah kurikulum lama iaitu di bawah program 'Kurikulum Lama Sekolah Rendah' dan 'Kurikulum Lama Sekolah Menengah' yang telah diperkenalkan sebelum KBSR dan KBSM. Kaedah ini merupakan satu tempat bagi sekumpulan murid untuk mengikuti pelajaran yang disampaikan oleh guru menggunakan kaedah keseluruhan kelas. Di dalam bilik darjah jenis ini pada kebiasaannya murid duduk mengikut susunan kerusi dan meja sebaris demi sebaris. Guru pula lazimnya berdiri di hadapan bilik darjah dan menyampaikan pengajaran menggunakan kaedah dan strategi tertentu. Terdapat juga kerusi dan meja serta papan hitam yang tergantung di hadapan kelas.

Ciri-ciri bilik darjah tradisi :
  • Kerusi dan meja disusun mengikut baris demi baris.
  • Murid yang rendah, bertubuh kecil dan kurang penglihatan serta pendengaran akan ditempatkan di hadapan.
  • Kerusi dan meja disusun sesuai dengan kaedah pengajaran yang lebih berpusat pada guru.
  • Cara pengajaran keseluruhan kelas merupakan kaedah mengajar utama di dalam bilik darjah.
  • Jarang mempraktikkan aktiviti kumpulan.
  • Murid berada dalam keadaan pasif dan menerima apa sahaja yang disampaikan oleh guru.


Bilik Darjah KBSR dan KBSM
Bilik darjah KBSR telah diperkenalkan di negara kita pada tahun 1982 di beberapa buah sekolah rendah sebagai percubaan manakala bilik darjah KBSM pula diperkenalkan apabila murid dari sekolah rendah tadi meneruskan pengajian ke sekolah menengah pada tahun 1988. Bilik darjah jenis ini mempunyai perbezaan yang begitu ketara jika dibandingkan dengan bilik darjah tradisi. Dari segi susunan fizikal, kerusi dan meja murid disusun mengikut kaedah kumpulan. Hal ini demikian kerana program KBSR menekankan aktiviti pembelajaran secara berkumpulan dan interaksi antara guru dengan murid serta murid dengan murid sangat ditekankan. Dari segi strategi pengajaran, pendekatan yang digunakan lebih bersifat berpusatkan murid dan penglibatan mereka secara aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran amat digalakkan. Dari segi bentuk dan kemudahan di dalam bilik darjah KBSR dan KBSM disediakan ruang pembelajaran untuk memudahkan murid menjalankan aktiviti pembelajaran. Selain itu, bahan pengajaran dan hasil pembelajaran juga diletakkan di ruang tersebut. Hal ini menimbulkan suasana bilik darjah menarik dan merangsang proses pengajaran dan pembelajaran.

Ciri-ciri bilik darjah KBSR dan KBSM
  • Kerusi dan meja murid disusun mengikut kumpulan.
  • Murid dapat dibahagikan mengikut kumpulan tertentu berdasarkan kebolehan tersendiri.
  • Menggalakkan penglibatan murid secara aktif.
  • Menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran berpusatkan murid.
  • Kerap melaksanakan interaksi antara guru dengan murid dan murid dengan murid.
  • Hasil kerja yang dipamerkan memperlihatkan suasana pembelajaran yang kondusif.
  • Murid sentiasa berada dalam keadaan aktif.


Bilik Darjah Terbuka
Bilik darjah terbuka wujud hasil daripada konsep pendidikan terbuka. R.S menyatakan bahawa konsep pendidikan terbuka sebagai suatu '[endekatan pengajaran dan pembelajaran, ruang-ruang pembelajaran bahan-bahan pelajaran serta penglibatan murid dalam membuat pemilihan daripada pendekatan dan strategi pembelajaran'. Sistem pendidikan terbuka dapat memberikan peluang kepada murid untuk merancang aktiviti pembelajaran sendiri dan pengajaran guru dikurangkan ke peringkat minimum. Guru hanya berperanan sebagai penasihat, pembimbing dan memilih bahan pengajaran dan aktiviti pengajaran sama ada secara berkumpulan atau individu. Pada kebiasaannya, pendekatan pengajaran secara berpasukan yang melibatkan beberapa orang guru terlatih dalam pelbagai bidang pengajaran digunakan untuk membimbing murid dalam bilik darjah terbuka. Situasi pengajaran di bilik darjah terbuka ini diubahsuai agar murid senang bergerak dari satu tempat ke satu tempat untuk memilih bahan pengajaran yang diminati dan menjalankan aktiviti pelajaran selepas berbincang dengan guru.

Ciri-ciri bilik darjah terbuka :
  • Pengajaran biasanya dijalankan dalam kumpulan kecil atau individu.
  • Pelbagai aktiviti dilaksanakan dan jadual mudah diubah.
  • Kaya dengan bahan dan peralatan mengajar.
  • Tiada kurikulum dihadkan. Pelbagai mata pelajaran diintgrasikan.
  • Murid bebas bergerak dan memilih bahan yang diminati.
  • Kumpulan murid dibentuk berdasarkan akademik dan minat.
  • Mempunyai suasana saling mempercayai dan menghormati perbezaan.
  • Ujian dan peperiksaan dikurangkan begitu juga dengan pembahagian gred.
  • Perhubungan antara guru dengan murid dan murid dengan murid secara terbuka dan jujur.

Dari segi ciri bilik darjah terbuka ini, kita dapati bahawa guru dalam bilik darjah hanya berperanan sebagai penbimbing, pengurus pembelajaran, kaunselor, pemudah cara atau fasilitator. Hal ini jelas berbeza dengan bilik darjah biasa yang menekankan aspek kawalan kelas. Implikasi daripada ini ialah pelajar diberi peluang untuk membentuk disiplinnya sendiri. Suasana berlumba-lumba untuk memperoleh markah tertinggi, ujian dan tekanan dari luar untuk menghabiskan sukatan pelajaran tidak berlaku. Sesetengah guru terutamanya yang tidak terlatih menganggap bahawa bilik darjah terbuka ini akan menimbulkan pelbagai masalah kepada guru. Antara masalah yang dijangka timbul seperti menyusun ruang dan mewujudkan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Penyediaan bahan juga akan menimbulkan masalah bagi guru yang tidak terlatih.






Thursday, April 21, 2016

PERANAN GURU DALAM PENGURUSAN BILIK DARJAH

Menurut Ee Ah Meng (2001), peranan guru adalah begitu rumit. Peranan guru di dalam bilik darjah adalah amat luas. Secara ringkasnya, guru sebagai seorang pengurus bilik darjah berperanan atau bertanggungjawan untuk memberikan panduan dan galakan kepada anak-anak didiknya, menjadi pengajar atau pakar mata pelajaran, menentukan peraturan dan rutin di dalam bilik darjah, memberikan contoh teladan yang baik (role model) kepada murid dan juga menjadi pengawal disiplin serta agen pengubah tingkah laku murid-murid.

1.      Sebagai Pengurus Bilik Darjah
Di dalam bilik darjah, selain mengajar, guru juga memainkan perannnya sebagai pengurus. Tugas guru sebagai pengurus ialah mengurus rutin bilik darjah, mengurus murid-murid supaya menjalankan tugas mereka mengikut jadual bertugas seperti membersihkan bilik darjah dan menyusun meja-kerusi, mengurus murid-murid supaya mematuhi segala peraturan bilik darjah, mengurus keadaan fizikal bilik darjah supaya menjadi lebih kondusif untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran, mengurus bahan-bahan pengajaran supaya dapat digunakan dengan lebih berkesan, dan mengurus aktiviti kumpulan supaya dapat dilaksanakan mengikut rancangan.
Mengurus rutin bilik darjah

Mengurus aktiviti kumpulan



2.        Sebagai Perancang
   Guru perlu merancang pembelajarannya secara sistematik sebelum memasuki ke bilik darjah.  Perancangan pembelajaran yang dibuat oleh guru perlu menimbangkan tahap objektif pelajaran, isi    pengajaran, bahan-bahan pelajaran dan pengurusan kemudahan.


Bahan-bahan pelajaran yang dirancang
3.      Bantu dan bimbing murid mengatasi masalah
Di bilik darjah, murid-murid sering menghadapi pelbagai masalah sama ada masalah tersebut adalah berkaitan dengan masalah pembelajaran, sosioekonomi serta keluarga. Oleh itu, selain mengajar, guru dikehendaki memainkan peranan sebagai pemimpin untuk membantu murid-murid mengatasi masalah yang mereka hadapi. Misalnya, guru boleh membimbing sekumpulan murid melaksanakan sesuatu projek, membimbing menjalankan aktiviti pemulihan atau aktiviti pengayaan, membimbing menyelesaikan masalah matematik kompleks yang kompleks dan sebagainya.


Membantu murid menyelesaikan masalah 


4.      Mengembangkan kebolehan murid.
Dalam satu kelas, murid-murid mempunyai kebolehan yang berlainan. Secara umumnya, kebolehan murid dapat dibahagikan kepada tiga kategori iaitu pintar, sederhana dan lemah. Maka, guru perlu menyediakan pelbagai aktiviti penggayaan untuk mencabar pemikiran mental mereka. Hal ini telah menggalakkan murid-murid secara aktif dalam pembelajaran.



Murid-murid menunjukkan bakat mereka untuk bercakap di hadapan kelas



Rujukan : 

Bahagian Pendidikan  Guru.(2002). Unit 2: Pengurusan pengajaran bilik darjah. Kementerian Pelajaran Malaysia.
Ee Ah Meng(1994). Psikologi dalam Bilik Darjah. Kuala Lumpur : Penerbitan Fajar Bakti.